suria

PRK Rompin: Pusat Pengundian Awal Dibuka, 545 Layak Mengundi

ROMPIN: Seramai 177 anggota polis dan pasangan mereka merupakan pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang berlangsung di Bilik Rehat, Ibu Pejabat Daerah Rompin di sini, Khamis.

Mereka merupakan antara 545 yang layak mengundi awal pada PRK kali ini.

Pusat pengundian awal itu dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang Khamis.

Terdapat tiga lagi pusat pengundian awal iaitu di Dewan Seri Ibam, Skuadron 322 TUDM, Bukit Ibam yang turut akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala Bilik Maklumat, Balai Polis Muadzam Shah dan Bilik Maklumat, Balai Polis Tekek, Pulau Tioman akan ditutup tiga jam lebih awal.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan.

Selain itu, perjalanan proses tersebut akan turut dipantau pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya itu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin akan dicabar Nazri Ahmad yang mewakili PAS.

Sementara itu, sejumlah 52,744 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 5 Mei ini.

PRK Rompin

Artikel Lain