suria

Dasar Baharu Untuk Peminjam Serta Menerima Biasiswa Mara

KOTA BAHARU: MARA akan memperkenalkan dasar baharu kepada peminjam dan penerima biasiswa selewat-lewatnya Jun depan.  

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata dasar baharu itu diperkenalkan agar pelajar dari golongan luar bandar yang cemerlang berpeluang untuk mendapatkan pinjaman atau biasiswa dari MARA. 

"Saya perhatikan begitu banyak sekali permohonan biasiswa atau pinjaman diterima oleh MARA sepanjang tahun, justeru MARA perlu berikhtiar untuk meluaskan peluang terutama bagi golongan miskin dan luar bandar yang cemerlang. 

"Bulan depan atau selewat-lewatnya Jun ini saya akan perincikan dasar baharu penajaan MARA...kita perlu pendekatan lebih kreatif agar lebih ramai mendapat peluang," katanya dalam laman sosial Facebooknya pada Rabu.  

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh, berkata pendekatan baharu itu turut melibatkan 'endowment fund' serta program MARA-Bank.  

"(Ini dilakukan) agar jumlah dana yang lebih besar dapat disediakan dengan kawalan pusingan dana yang lebih terurus.

"Semoga dengan pendekatan baharu ini lebih ramai pelajar undergraduate dan postgraduate dalam dan luar negara boleh dibantu oleh MARA," katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata pihaknya akan membuat beberapa perubahan terhadap Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara dalam usaha menaikkan nama pusat pengajian itu ke persada antarabangsa. 

"Saya juga akan memperkenalkan satu transformasi untuk semua MRSM seluruh negara, ini untuk menjadikan MRSM sebuah kolej berciri global serta melahirkan pelajar berkualiti premium untuk negara," katanya. 

Beliau berkata kesemua MRSM di seluruh negara akan mula menggunakan sistem Dwi-Sijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).  

"Mereka yang cemerlang pencapaian IGCSE akan (melalui) 'fast track' ke ALevel selepas tingkatan empat, seterusnya ke universiti terpilih. 

"Pelajar ini boleh mendapat ijazah seawal usia 20 atau 21 tahun berbanding 23 tahun sistem biasa," katanya. 

Annuar juga berkata pelajar MRSM juga perlu menguasai minimum tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta satu lagi bahasa tambahan. 

"Roadmap pelaksanaan transformasi ini akan dibuat penuh teliti melibatkan input pakar dan pendidik," katanya.

dasar baharu, peminjam MARA

Artikel Sebelum

Artikel Lain