suria

21 Pelajar Malaysia Di Moscow Terlibat Dalam Kebakaran - Kedutaan

KUALA LUMPUR: Seramai 21 pelajar Malaysia di Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Rusia (RNRMU), Moscow terlibat dalam kebakaran asrama pelajar pada malam Rabu (zon masa Moscow).

Menurut Wisma Putra, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Moscow, Francisco Munis berkata, enam daripada mereka masih dirawat kerana keracunan karbon monoksid dan melecur sementara seorang lagi telah dibenarkan keluar daripada hospital.

Beliau berkata, enam pelajar itu ditempatkan di Hospital Sklifosovskogo dengan pegawai kedutaan turut ditempatkan di hospital bagi memantau keadaan mereka.

"Pelajar kita sudah stabil, hanya enam yang masih berada di wad. Daripada enam orang itu, empat menjalani rawatan pernafasan sementara dua lagi menerima rawatan akibat melecur," katanya kepada Bernama ketika dihubungi dari sini, Khamis.

Kesemua keluarga pelajar terbabit telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Ditanya sama ada para pelajar berkenaan akan dibawa pulang ke Malaysia, beliau berkata perkara itu masih belum disahkan.

Namun perbicangan antara pihak kedutaan dengan para pelajar akan diadakan, kata Munis.

"Kini keutamaan kita ialah menjaga kebajikan mereka. Pelajar yang dibenarkan keluar hospital akan ditempatkan di penempatan sementara dengan bantuan pihak universiti," katanya.

Pada mulanya tujuh pelajar dimasukkan ke hospital iaitu Mohannan Pattu, Pavin Raaj Selva Kumar, Praveena Sunthar Raj, Chen Wei Jun, Naveen Anbalakan, Zainal Nastaiin dan Sharath Raj.

Namun seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar, sementara pelajar selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Artikel Lain