suria

PDRM Beri Perhatian Aduan Salah Laku Anggota, Kematian Tahanan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi perhatian terhadap aduan salah laku anggota dan pegawainya serta kebajikan tahanan di lokap sebagai usaha ke arah penambahbaikan agensi tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, setiap aduan tersebut juga akan diambil tindakan lanjut ke arah penyelesaiaan selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Kita sudah bincang dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap) dan aduan masyarakat berkaitan agensi penguatkuasaan akan diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.

"Kita bincang arah tuju kita, bagaimana kita nak tambah baik perkhidmatan kepada masyarakat dan bagaimana nak atasi segala kelemahan yang telah dikenal pasti termasuklah mengenai kes kematian tahanan dalam lokap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama Siap, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Selasa.

Yang turut hadir Pengerusi Siap, Datuk Yaacob Md Sam dan pegawai-pegawai kanan PDRM.

Noor Rashid berkata, insiden kematian tahanan dalam lokap menjadi perkara utama yang dibincangkan dalam dialog tersebut selepas mendapat perhatian Siap.

Katanya, statistik dari tahun 2010 hingga 2014 mencatatkan 51 kes kematian tahanan dalam lokap dan majoriti kematian berpunca daripada faktor kesihatan.

"Antaranya kita bincang bagaimana anggota polis dapat memberi perhatian terhadap hak-hak, keselamatan dan kesihatan tahanan, perlunya mereka kesan tahanan yang tak begitu sihat untuk dihantar ke hospital," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai statistik tersebut, beliau berkata, sebanyak 95 peratus kematian tahanan dalam lokap berpunca daripada faktor kesihatan seperti penyakit kuning, jantung, ulser dan paru-paru.

Katanya, daripada jumlah tersebut, hanya satu kes melibatkan kekerasan anggota polis dan telah ia kini berada di peringkat perbicaraan di mahkamah.


PDRM, Siap

Artikel Lain