suria

PRK Pmtg Pauh: PKR Umum Calon Jumaat, Janji Kejutan

PETALING JAYA: Berbaki lima hari sebelum hari penamaan calon Sabtu ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih berteka-teki mengenai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Malah parti itu memilih untuk mengumumkan calon mereka pada saat-saat akhir iaitu pada Jumaat ini.

Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, parti itu menjanjikan kejutan berhubung calon yang akan diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi tersebut.

"Sengaja kita umum di saat-saat akhir. Kita nak bagi kejutan. Harap semua dapat bersabar dan menunggu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Walaupun diasak dengan pelbagai soalan termasuk sama ada parti itu akan menurunkan calon 'kitar semula' di Permatang Pauh, Rafizi bagaimanapun tetap enggan memberi bayangan berhubung calon yang sudah dipilih itu.

Selain itu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR juga enggan mendedahkan jantina calon mereka.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang di Selangor disebut-sebut akan bertanding di kerusi berkenaan.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala penamaan calon 25 April dan pengundian awal pada 3 Mei.

PRK Permatang Pauh, PKR, Rafizi Ramli

Artikel Lain