suria

Penganggur Didakwa Bunuh Bekas Tunang

Penganggur, Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin, 23, didakwa di Mahkamah Majistret Kluang hari ini, atas tuduhan membunuh bekas tunangnya Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di Kluang, pada 10 April lepas.

KLUANG: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Isnin atas tuduhan membunuh bekas tunangnya, awal bulan ini.

Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin, 23, didakwa menyebabkan kematian dengan niat untuk membunuh Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, dengan menggunakan sebilah pisau.

Muhammad Irshaduddin berasal dari Taman Bukit Tiram, Johor Baharu didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak motosikal pasar raya Econsave, Jalan Mersing, di sini, pada 5.45 petang, 10 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan dia mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuruhuda Yusof.

Mahkamah menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-- Bernama


Artikel Lain