suria

Vijandran Masih Tunggu Surat Pelantikan

D.P Vijandran
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung MIC, D.P  Vijandran, yang berkemungkinan mengetuai jawatankuasa pemilihan semula parti itu, berkata beliau masih menunggu surat pelantikan berkenaan.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri S. Subramaniam, MIC 2009 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim MIC 2009 telah mencadangkan Vijandran, yang merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, mengetuai jawatankuasa pemilihan semula parti.

"Saya membaca berita mengenainya semalam tetapi setakat ini tiada siapa yang telah menghubungi saya," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.

Vijandran berkata beliau hanya boleh mempertimbangkan sama ada menerima atau tidak tawaran itu selepas menerima surat berkenaan daripada parti.

Subramaniam berkata keputusan untuk melantik Vijandran dicapai selepas mengambil kira pandangan daripada beberapa veteran parti.

"Mereka berkata mereka akan menulis kepada saya... jadi saya sedang menunggu. Saya tidak boleh berkata apa-apa lagi melainkan jika surat itu ada di hadapan saya," katanya.

Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC akan diadakan dari April hingga Jun, manakala pemilihan untuk jawatan penting dalam parti akan diadakan pada Julai.

Pada Februari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata MIC perlu mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mengadakan pemilihan semula parti.

Krisis MIC berlarutan berikutan perbezaan pendapat antara dua pemimpin utama parti setelah RoS membatalkan pemilihan bagi tiga naib presiden dan 23 jawatan CWC yang diadakan pada November 2013, berikutan aduan penyelewengan.

Dalam surat bertarikh 5 Disember, 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam masa 90 hari.

Artikel Lain