suria

Tindakan Tegas Menanti Penghasut - TKPN

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencetuskan isu berbau hasutan.

Noor Rashid berkata tindakan tegas seperti itu perlu diambil pihak polis bagi memastikan rakyat dan negara terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

"Kalau kita rujuk kepada takrif Seksyen 2, Akta Hasutan, (ia) dipanggil kecenderungan untuk menghasut.

Sesiapa sahaja yang mempertikai kedudukan Raja-Raja, sesiapa sahaja mempertikai kewibawaan mahkamah yang ada dalam negara kita, sesiapa sahaja menghasut yang menimbulkan ketegangan kaum, kita takrifkan (perbuatan itu) di bawah Seksyen 2, Akta Hasutan (1948) ini," katanya.

Noor Rashid berkata demikian kepada pemberita semasa mengulas mengenai siasatan polis terhadap Doris Jones yang dikaitkan dengan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) selepas menutup Seminar Integriti Ketua Balai Polis Kontinjen Sabah di sini, Jumaat.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Noor Rashid berkata polis akan melakukan siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat tuduhan di mahkamah ke atas sesiapa sahaja yang cuba mempertikai perkara-perkara di bawah Seksyen 2, Akta Hasutan itu.

Beliau berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kebebasan bersuara atau berbuat sesuatu kepada rakyat di negara namun kebebasan berkenaan ada had atau batasannya.

"Maknanya, kalau kita nak bercakap, kita kena tahu batasannya. Kalau anda melangkau batasan berkenaan. Maka sebagai pegawai polis, dengan tujuan untuk memelihara keamanan dan ketenteraman negara, kita akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Mengulas mengenai seminar berkenaan, Noor Rashid berkata ia akan dilaksanakan di seluruh negara dan antara negeri yang sudah melaksanakan seminar berkenaan selain Sabah ialah Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya seminar, anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan (JIP), iaitu jabatan baharu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diwujudkan pada Julai tahun lalu, adalah untuk memastikan pegawai dan anggota PDRM mematuhi piawaian yang ditetapka ketika melaksanakan tugas.

"Dalam usaha kita memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, kita pun telah menetapkan penanda aras kita dan pegawai dan anggota harus mampu melepasi piawaian yang ditetapkan. Ini untuk memastikan pegawai dan anggota polis sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan peka dengan kehendak masyarakat," katanya.

Polis, Penghasut

Artikel Berikut

COO Cabul Pekerja Wanita

Artikel Lain