suria

Presiden Myanmar Diberi Sambutan Luar Negara

Presiden Myanmar U Thein Sein memeriksa kawalan kehormat ketika sambutan rasmi lawatan negara ke Malaysia selama dua hari di atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Parlimen, Khamis. Lawatan pemimpin Myanmar itu merupakan yang pertama ke negara ini selepas beliau dilantik sebagai presiden republik itu pada 2011. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden Myanmar U Thein Sein yang tiba untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini, Khamis.

Ketibaan Thein Sein dan isteri Daw Khin Khin Win pada 5 petang disambut Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Upacara sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan oleh pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi diikuti tembakan meriam 21 das.

Thein Sein kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 104 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama RAMD diketuai Mejar Mohd Eqram Mohd Rosli.

Beliau dan anggota rombongannya kemudian diperkenalkan kepada anggota Jemaah Menteri dan perwakilan diplomatik asing yang menghadiri upacara itu.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Thein Sein ke Malaysia atas undangan Tuanku Abdul Halim selepas beliau dilantik sebagai presiden negara itu pada 2011.

Semasa berada di negara ini, beliau dijadual mengadakan mesyuarat terhad bersama Najib diikuti mesyuarat delegasi serta majlis jamuan rasmi yang dihoskan perdana menteri dan isteri.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka berbincang mengenai kemajuan kerjasama dua hala sedia ada dan peningkatan dalam kerjasama pelbagai sektor serta bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu serantau.

Myanmar merupakan rakan dagang ke-38 terbesar Malaysia dan ketujuh terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah perdagangan dua hala kedua-dua negara sebanyak RM3.18 bilion (US$972.1 juta) tahun lepas.

Artikel Lain