suria

Kedudukan Hutang Luar Negeri Malaysia Kekal Terurus - Kementerian Kewangan

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana, kata Kementerian Kewangan.

Pada akhir 2014, keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan di dalam negeri dan luar pesisir berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), katanya dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah itu, 97.1 peratus atau RM566.1 bilion adalah hutang domestik, manakala baki RM16.8 bilion atau 2.9 peratus merupakan hutang luar pesisir.

Kerajaan terus komited dalam memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK, katanya.

Selaras dengan keperluan pelaporan hutang di peringkat antarabangsa mengikut konvensyen standard Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), katanya kedudukan hutang luar negeri Malaysia dikira berdasarkan definisi baharu yang terdiri daripada pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam dan sektor swasta; dan pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit perdagangan dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin.

Pada akhir 2014, jumlah hutang luar negeri Malaysia berada pada paras RM744.7 bilion atau 69.6 peratus daripada KDNK berbanding RM696.6 bilion atau  70.6 peratus pada 2013.

Daripada jumlah ini, 42 peratus merupakan pegangan sekuriti hutang dan deposit oleh bukan pemastautin; hutang sektor swasta (37 peratus); hutang perusahaan awam (10 peratus); kredit perdagangan dan lain-lain pinjaman (sembilan peratus) serta hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan (dua peratus).

Hutang luar negeri berdasarkan definisi baharu mencerminkan paras  pegangan sekuriti hutang dan deposit dalam denominasi ringgit oleh bukan  pemastautin yang tinggi mencakupi lebih 40 peratus daripada jumlah  keseluruhan hutang luar negeri.

"Ini disebabkan kedalaman, keterbukaan dan daya tarikan yang lebih meluas terhadap pasaran kewangan Malaysia," katanya.

Pasaran kewangan Malaysia telah berkembang dengan pesat hasil daripada kemajuan dalam liberalisasi sektor kewangan.

Menurut Kementerian Kewangan, penting untuk diberi perhatian bahawa hutang luar pesisir bagi Kerajaan Persekutuan adalah kecil, hanya meliputi dua peratus daripada jumlah keseluruhan hutang luar negeri itu.

Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan kekal tidak berubah dan rendah pada paras RM16.8 bilion atau 1.6 peratus daripada KDNK.

Artikel Lain