suria

Perak Bakal Warta Fatwa Berkaitan ISIS

IPOH: Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata Perak bakal mewartakan fatwa berkaitan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Beliau berkata fatwa itu dihasilkan selepas persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 pada 21 hingga 22 Okt lepas berkaitan isu umat Islam Malaysia yang berjuang atas nama ISIS.

"Fatwa yang dibuat pada 23 Feb lepas akan dihantar kepada Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) sebelum ia diwartakan. Apabila sultan bersetuju, kita  akan hantar kepada penasihat undang-undang untuk didrafkan dan dihantar semula kepada Sultan untuk ditandatangani sebelum diwarta," katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Darul Ridzuan , Rabu.

Harussani berkata ISIS tidak direstui oleh seluruh umat Islam kerana ia bukan daripada perjuangan Islam tetapi satu kumpulan penjenayah yang mungkin hanya menggunakan nama Islam untuk mencari pengaruh bagi menegakkan kumpulan itu.

"Pelantikan khalifah yang dibuat oleh mereka, dengan tidak mengetahui siapa yang melantik dan siapa orang sebenarnya yang dilantik khalifah, dan di atas persetujuan siapa. Kalau dia nak mendirikan negara Islam, negara mana yang nak didirikan sebagai negara Islam.

"Nabi sendiri sewaktu hidupnya, dalam peperangan...pertama sekali, apa yang dilarang ialah jangan membunuh orang tua, kanak-kanak, perempuan dan orang yang berada di kuil, gereja atau tempat ibadat.

"Mereka boleh ditangkap tetapi tidak boleh dibunuh...tetapi kita lihat apa yang dilakukan ISIS ini bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam," kata Harussani yang meminta ibu bapa dan pelajar memahami maksud sebenar ISIS dan tidak terburu-buru untuk berjuang atas nama Islam dan mengejar mati syahid.

"Perbuatan mereka ini tidak akan mati syahid. Kalau mereka mati adalah seperti matinya seorang penjenayah," katanya.

Beliau juga berkata antara lain, muzakarah berpandangan kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama ISIS di Syria atau ISIL (Negara Islam Iraq dan Jajahannya) di Iraq adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut Hukum Syarak.

Katanya, muzakarah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS atau ISIL adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad, dan kematian mereka juga tidak dikategori sebagai syahid menurut kerangka Hukum Syarak,

Harussani sebelum ini menyatakan bahawa perbuatan segelintir kecil rakyat Malaysia yang dilaporkan mengikut ISIS adalah tidak wajar dan haram untuk diteruskan.

ISIS

Artikel Berikut

Artikel Lain