suria

Pastikan Identiti Sebenar Doris Jones - Speaker Sabah

Doris Jones
PETALING JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa kerajaan memastikan identiti sebenar Doris Jones, yang dikatakan menjadi pemimpin kepada pergerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

"Nama Jones seolah-olah adalah nama suaminya dan dia berpangkalan di Northampton, United Kingdom (UK). Dia dikatakan telah meninggalkan Malaysia satu ketika dulu dan menjadi pemastautin UK," kata Salleh posting di blognya, Khamis.


Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata Jones telah berada di UK untuk tempoh tertentu, tetapi hanya aktif dalam politik selepas bertemu dengan bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dalam ceramah yang diadakan di London.

Dia juga dikait rapat dengan pergerakan lain yang berpangkalan di London yang dipanggil Friends of Pakatan Rakyat, yang diketuai oleh penyokong PKR dan DAP.

"Oleh itu, dia meninggalkan Malaysia kerana berkahwin dan kerjaya, bukan kerana dia dianiaya kerana terlalu lantang bersuara, seperti yang dikatakannya," katanya.

Salleh, yang juga Timbalan Ketua Umno Sabah berkata Jones telah mewujudkan gambaran palsu bahawa Sabah dan Sarawak 'berjuang' untuk menarik diri dan memperoleh kemerdekaan daripada Malaysia.

Beliau berkata tanggapan seperti itu telah menarik perhatian akhbar di UK seperti British Broadcasting Corporation (BBC), yang baru-baru ini memberikan satu sesi temu bual bersamanya.

Artikel Lain