suria

Seri Paduka Berangkat Ke Majlis Santapan Malam Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan hadir Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-237 di Istana Negara. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam sempena Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu kali ke-237 di Istana Negara, malam Rabu.

Turut berangkat pada majlis itu ialah kesemua Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri besar, ketua menteri serta isteri masing-masing turut menghadiri santapan malam itu.

Tuanku Abdul Halim dijadual berangkat menghadiri hari kedua mesyuarat itu pada Khamis.

Mesyuarat Majlis Raja-raja pada Rabu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah.

Artikel Lain