Perhimpunan Haram Untuk Individu, Sekadar Meraih Simpati - Semasa | mStar

Perhimpunan Haram Untuk Individu, Sekadar Meraih Simpati

KUALA LUMPUR: Penganjuran perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu dilihat banyak pihak sebagai cubaan meraih perhatian masyarakat dunia, selain bertujuan memberi imej buruk kepada negara, kerajaan dan institusi kehakiman.

Ketika rakyat gigih menghadapi cabaran semasa seperti kos sara hidup yang  meningkat, perhimpunan haram anjuran pembangkang bukan hanya menyusahkan pihak berkuasa yang terpaksa mengawal keadaan, malah menjejaskan mata pencarian rakyat yang perlu bekerja keras menampung keperluan hidup.

"Tidakkah pembangkang dan penyokongnya sedar perhimpunan ini hanya untuk kepentingan seseorang individu? Bagaimana pula dengan suara majoriti rakyat yang mahu meneruskan kehidupan dengan aman damai?

"Apakah suara majoriti ini tiada tempat dalam sistem demokrasi yang kononnya diperjuangkan pembangkang?," soal konduktor bas yang hanya ingin dikenali sebagai Azrul, 45, kepada Bernama berhubung perhimpunan haram anjuran penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang menghairankan pemuda itu, Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memperoleh dan menikmati semua ruang dalam setiap proses perundangan negara. Lantaran itu tidak timbul soal Anggota Parlimen Permatang Pauh itu dianiaya.

ADA PEMIMPIN YANG TIDAK TURUN BERHIMPUN

Jika seorang rakyat seperti Azrul boleh berfikiran terbuka seperti itu, tidak bolehkah pemimpin pembangkang yang berpengetahuan luas bertindak lebih matang?

Ironinya, mereka mengajak orang ramai melakukan protes jalanan tetapi pemimpin sendiri enggan hadir.

Portal pro pembangkang dipetik sebagai berkata kononnya ada di kalangan pemimpin pakatan pembangkang tidak akan menghadiri perhimpunan itu atas alasan mempunyai urusan lain.

Seorang pemimpin pembangkang pula dilapor sebagai berkata kehadiran ke perhimpunan itu tidak wajib.

Meneliti perkembangan ini, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata sekiranya benar ada di kalangan pemimpin utama pakatan pembangkang tidak hadir kelak, ia menunjukkan bahawa pengaruh ketua pembangkang dalam pakatan itu semakin lemah.

"Mungkin juga ada di kalangan mereka yang berasa jemu dengan demonstrasi seperti ini dan ingin melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai pemimpin kerajaan negeri.

"Saya melihat ini sebagai strategi politik kepada mereka sama ada kehadiran ke perhimpunan itu mendapat sambutan atau sebaliknya. Jika mendapat sambutan, mereka boleh berkata sokongan rakyat kepada pakatan semakin meningkat meskipun tanpa kelibat mereka dan jika berkurangan, mereka akan beri alasan mereka sibuk berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Pada Rabu, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram di ibu negara Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata perhimpunan itu melanggar undang-undang dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan kerana ia bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

APA YANG NAK DIBUKTIKAN?

Apakah yang ingin dibuktikan kumpulan penyokong Anwar dengan mengadakan perhimpunan sedemikian?

Samsul Adabi berkata berdasarkan pemerhatiannya, tindakan mengadakan perhimpunan seumpamanya adalah lebih kepada gerakan politik bagi mengekalkan sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang.

Menggunakan sentimen Anwar dipenjarakan, pakatan pembangkang dilihat cuba meraih simpati masyarakat di negara ini dan dunia supaya menyebelahi mereka.

"Mereka cuba mewujudkan tekanan kepada kerajaan kononnya telah berlaku ketidakadilan kepada ketua pembangkang. Tiada apa pun yang mereka buktikan, ia lebih kepada untuk meraih simpati masyarakat," katanya.

Pada 10 Feb, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar dan mendapati Anwar bersalah dalam kes liwat II, serta mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

KENAPA DI SOGO?

Perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan dirancang diadakan di pusat tumpuan ramai iaitu di pekarangan kompleks membeli-belah terkenal Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Kenapa di Sogo dan bukannya di tempat lain?

Samsul Adabi berpendapat Sogo menjadi pilihan penganjur perhimpunan memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan masyarakat, khususnya di sekitar Jalan TAR dan Masjid India yang sinonim sebagai kawasan membeli-belah di ibu negara.

"Mereka tahu sekiranya mereka memilih Dataran Merdeka, perhimpunan mereka akan kelihatan tidak berjaya kerana kurang mendapat sambutan. Di Sogo, mereka boleh mendakwa masyarakat yang ke Sogo turut menyertai mereka supaya mereka nampak ramai. Itu sahaja," katanya.

Kumpulan pemuzik jalanan Caliph Buskers yang menjadi penghibur tetap di Sogo dilaporkan memberi amaran kepada penganjur perhimpunan haram itu supaya membatalkannya demi kelangsungan rezeki pemuzik jalanan di kawasan berkenaan.

Kumpulan, yang dianggotai enam Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan, menjadi fenomena kepada masyarakat di negara ini apabila dijemput pemuzik dan komposer terkenal Edry Abdul Halim untuk mengadakan persembahan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu awal tahun ini, menerusi lagu Romancinta.

Seorang anggota kumpulan yang dikenali sebagai Fendy berharap perhimpunan itu tidak diadakan memandangkan bukan hanya kumpulannya, bahkan banyak lagi kumpulan buskers yang mencari rezeki di sekitar Sogo.

"Orang ramai datang di sini bukan untuk melihat perhimpunan haram," kata Fendy.

Perhimpunan Haram , Kita Lawan , Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain