suria

Air Sungai, Air Paip Terawat Di Cameron Highlangs Dicemari Racun Perosak

Sungai di Cameron Highland kini dikesan tercemar akibat racun perosak.

CAMERON HIGHLANDS: Cameron Highlands kini menjadi tumpuan penyelidik di seluruh negara berikutan aktiviti pertanian tanpa kawalan telah  mengakibatkan pelbagai kesan terhadap alam sekitar, kata Ketua Pusat Analisis dan Penyelidikan Air (Alir) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz.

Beliau berkata, satu kajian mendalam perlu dilaksanakan khususnya oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, selepas kajian awal mendapati permukaan air di dua sungai utama iaitu Sungai Bertam dan Sungai Terla serta air paip terawat mengandungi bahan racun perosak yang diharamkan.

"Kerosakan akibat pencemaran ini kita lihat masih berada pada tahap tidak begitu serius dan saya boleh berikan markah enam daripada sepuluh, namun itu hanya membabitkan data yang sudah kami analisis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Seminar Dalam Meningkatkan Kesedaran Kesan Racun Makhluk Perosak Terhadap Kesihatan Manusia dan Alam Sekitar di Strawberry Park Resort di sini, Jumaat.

Terdahulu, Yang Farina membentangkan kertas kerja bertajuk 'Paras Residu Organoklorin Racun Makhluk Perosak pada Permukaan Air di Cameron Highlands'.

Prof Dr Yang Farina Abdul Aziz

Beliau turut menjelaskan pihaknya memerlukan dana yang tinggi serta penaja untuk menjalankan penyelidikan berhubung perkara itu secara terperinci.

"Kajian mendalam memerlukan kos yang tinggi, sekiranya kami ada dana atau geran yang khusus serta ada pihak yang sanggup menaja penyelidikan, lebih banyak analisis dan kajian dapat dilakukan," katanya.

Yang Farina berkata, kerajaan mungkin melihat isu di Cameron Highlands membabitkan pendatang tanpa izin dan penerokaan tanah haram untuk pertanian semata-mata namun kesan aktiviti sedemikian juga merupakan satu daripada punca pencemaran air di kawasan berkenaan.

Beliau menjalankan kajian itu dengan kerjasama Rangkaian Tindakan Racun Makhluk Perosak Rantau Asia dan Pasifik (Panap) bermula Ogos hingga Disember tahun lepas bersama-sama tiga penyelidik iaitu Profesor Dr Md Pauzi Abdullah, Mohd Rozali Othman serta Wan Mohd Afiq Wan Mohd Khalik dari Jabatan Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Sementara itu, Md Pauzi berkata kajian berhubung kualiti air di Cameron Highlands sudah dilaksana sejak lima tahun lalu oleh UKM, dan daripada dapatan yang diperoleh, kesan racun yang ditemukan di dua sungai utama terbabit dikesan berpunca daripada aktiviti pertanian sebelum ini.

"Perkara paling penting adalah mendidik dan memberikan kesedaran berterusan mengenai apa yang berlaku bagi memastikan ia dapat dikawal dan tidak memberikan impak negatif berterusan terhadap alam sekitar.

"Pendidikan adalah langkah terbaik dan maklumat berkaitan kesan terhadap racun perlu diperjelas supaya petani dapat mengubah cara pertanian kepada cara yang lebih selamat.

"Perkara ini juga tidak seharusnya hanya membabitkan pekerja dalam sektor berkenaan tetapi ia perlu diperluas kepada masyarakat supaya pemahaman mereka lebih jelas dan kesedaran mereka lebih tinggi," katanya. -- Bernama

Artikel Lain