suria

Kes Dadah: Singapura Batal Penganjuran Festival Muzik

SINGAPURA: Permohonan lesen penganjuran Future Music Festival Asia 2015 yang dijadualkan berlangsung di Singapura minggu depan tidak diluluskan berikutan isu penyalahgunaan dadah pada festival itu di Kuala Lumpur tahun lalu sehingga mengakibatkan enam orang maut.

Penganjur festival itu memberitahu akhbar Singapura, The Straits Times bahawa polis telah menolak permohonan lesen penganjuran acara tersebut sebanyak dua kali dan mereka membuat rayuan berdasarkan keputusan tersebut.

Kira-kira 15,000 tiket telah dijual untuk persembahan yang bakal diadakan di Singapura buat pertama kali pada 13 dan 14 Mac ini di Pusat Pameran Changi di sini.

Barisan artis yang bakal membuat persembahan ialah Fatboys Slim, The Prodigy dan lagenda hip-hop terkenal Public Enemy.

Menurut penganjur, Ketua Eksekutif The Liverscape Group, Iqbal Ameer, permohonan pertama ditolak pada 29 Januari lalu.

Berdasarkan hasil perbincangan bersama pihak polis, beliau diberi surat yang menyatakan permohonan tersebut ditolak kerana kebimbangan terhadap isu penyalahgunaan dadah seperti yang berlaku di Kuala Lumpur sebelum ini.

Penganjur kemudiannya menghantar semula permohonan kepada pihak berkuasa pada 16 Februari lalu dan ditolak sekali lagi pada 27 Februari.

Tambahnya, permohonan kedua tersebut menjelaskan tentang langkah untuk menangani penyalahgunaan dadah sekiranya festival itu berlangsung dengan melakukan ujian dadah secara rawak dan menambah kakitangan perubatan pada acara berkenaan.

Pihak penganjur telah membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri pada 2 Mac lalu.

"Ianya sedang dikaji semula. Salah satu sebab utama Future Music Festival diadakan di Singapura adalah kerana negara ini mengamalkan pendirian 'tolak ansur sifar' terhadap penyalahgunaan dadah," kata Iqbal. - THE STRAITS TIMES/ANN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain