suria

Pelancong Bangladesh Cabul Wanita Dipenjara 18 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong warganegara Bangladesh dihukum penjara 18 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah mencabul seorang pengamal perubatan tradisional, dua minggu lalu.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Arifuj Jaman, 28, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 18 Feb lepas.

Arifuj didakwa telah menyentuh punggung kanan wanita yang berusia 42 tahun itu dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di hadapan deretan kedai No. 33 Nam Guan Trading, Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi di sini, pada pukul 12.30 tengah hari, 18 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menyentuh punggung mangsa sebanyak dua kali ketika wanita itu sedang berjalan seorang diri di hadapan deretan kedai dan ketika berada di hadapan tempat menunggu bas.

Terdahulu, Arifuj yang diwakili peguam Ahmad Fairuz Arsyad memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda atas alasan tertuduh tidak sengaja melakukan perbuatan itu dan dia juga mahu segera pulang ke Bangladesh kerana pas masuk ke negara ini telah tamat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kerana tindakan tertuduh menyentuh mangsa mendatangkan ketakutan dan perasaan aib kepadanya. 

Bangladesh, Cabul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain