suria

Bilik Kelas Di SK Penimbawan Untuk Kegunaan Sementara - Muhyiddin

Gambar kelas di SK Penimbawan yang menjadi viral di laman sosial.
PAGOH: Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah yang beroperasi tanpa infrastruktur lengkap dengan keadaan kelasnya tidak berdinding di Tuaran hanyalah untuk kegunaan sementara para pelajar di sekolah terbabit.

Jelas beliau SK Penimbawan sedang melalui proses pengubahsuaian dan pelajarnya ditempatkan di bilik kelas sementara.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian itu telah dihantar ke Sabah untuk memantau situasi tersebut.

Katanya, peruntukan kira-kira RM5 juta hingga RM10 juta telah diluluskan beberapa bulan lalu.

"Ia hanyalah berkaitan pengurusan dan pelaksanaannya akan memakan masa," katanya pada sidang media selepas menghadiri karnival muzik belia Pagoh di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata, beliau mengarahkan kerja-kerja pengubahsuaian sekolah tersebut siap pada tahun ini.

SK Penimbawan antara 10 buah sekolah yang mempunyai jumlah pelajar lebih 2,000 pelajar yang musnah akibat kebakaran atau tanah runtuh di Sabah sejak tahun lalu.

Bilik kelas di SK Penimbawan sekadar beratapkan zink dan bertiang besi tanpa dinding dengan kelengkapan beberapa meja kayu, kerusi plastik, papan putih dan kipas dinding.

SK Penimbawan musnah akibat kebakaran pada Mei tahun lalu.

Sekolah tersebut tiada bekalan elektrik ketika dibina dan beberapa bulan lalu apabila bekalan elektrik dibekalkan ke bangunan tersebut berlaku litar pintas sehingga menyebabkan kebakaran.

Dua lagi sekolah lain yang mengalami masalah sama adalah SK Tampasak di daerah Papar dan SK Pekan di Kiulu.

Kedaifan yang dihadapi pelajar di SK Peninbawan menjadi perbualan hangat apabila beberapa keping gambar di sekolah terbabit menjadi viral di laman sosial dengan #SchoolWithNoWall pada Jumaat.

Malah, Perdana Menteri telah meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyiasat dan mengambil tindakan berhubung dakwaan mengenai kewujudan sekolah tersebut.

Najib dalam laman Twitternya berkata: "TS KSN@AliHamsa55 siasat dan ambil tindakan untuk bantu jika benar. Ini tidak patut berlaku."

Artikel Lain