suria

Saya Tak Campur Tangan Urusan Jabatan Penjara – Zahid Hamidi

Ahmad Zahid (kanan) pada sidang media sempena lawatan dan mesyuarat bulanan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Penjara di Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, Penjara Kajang di Kajang, Jumaat. Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

KAJANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam soal peraturan dan operasi Jabatan Penjara.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, semua peraturan yang dikenakan terhadap banduan mengikut ketetapan standard peraturan minimum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSMR).

Sehubungan itu beliau menjelaskan bahawa walaupun Jabatan Penjara di bawah kementeriannya tetapi dua aspek berkenaan diserahkan seratus-peratus kepada jabatan itu.

"Walaupun Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi dalam soal melaksanakan peraturan dan operasi, saya serahkan seratus-peratus kepada ketua pengarah, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai penjara yang diberikan tanggungjawab.

"Saya tidak campur tangan atau berhajat untuk campur tangan jika ada yang meminta supaya beberapa kelonggaran diberikan, ataupun jika terdapat beberapa tuduhan yang menyatakan bahawa pihak penjara 'memilih bulu' dalam memberikan layanan kepada banduan-banduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan dan mesyuarat bulanan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Penjara di Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, Penjara Kajang di sini, Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Pengarah Penjara Kajang, Abdul Wahab Abdul Kassim.

Artikel Sebelum

Artikel Lain