suria

Jabatan Penjara Hasrat Tubuh Yayasan Koreksional – Zahid Hamidi

Ahmad Zahidi ketika meninjau salah seorang banduan membuat roti semasa kunjungannya ke di Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, Penjara Kajang di sini, Jumaat. Foto S.S.KANESAN / THE STAR

KAJANG: Jabatan Penjara berhasrat untuk menubuhkan Yayasan Koreksional bagi melaksanakan program pemulihan banduan secara holistik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koreksional memberikan penekanan terhadap hukuman yang dijalankan agar banduan pulih sepenuhnya dan akan menjadi insan berguna serta tidak mengulangi kesalahan apabila mereka dibebaskan kelak.

Menurutnya, Yayasan Koreksional itu kelak akan bertujuan untuk memperuntukkan hasil jualan produk yang dihasilkan banduan bagi progam pemulihan tersebut.

Malahan katanya, Jabatan Penjara turut mencatatkan penjimatan yang besar hasil daripada keluaran sara diri daripada banduan seperti pembekalan roti, penternakan ikan air tawar, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Tahun lepas kita (Jabatan Penjara) menyasarkan hasil jualan produk keluaran banduan sebanyak RM25 juta tetapi kita memperoleh RM28.8 jut.

“Kita dalam dalam proses untuk memohon kepada Kementerian Kewangan supaya mengizinkan penubuhan Yayasan Koreksional.

“Jadi, wang ini akan dibelanjakan oleh Yayasan Koreksional bagi melakukan program-program pemulihan kepada banduan secara holistik,” katanya pada sidang media sempena lawatan dan mesyuarat bulanan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Penjara di Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, Penjara Kajang di sini, Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Ahmad Zahid berkata, antara program pemulihan banduan yang diketengahkan Jabatan Penjara adalah program pengajian yang disertai banduan dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Ia merupakan sesi pengajian jarak jauh secara dalam talian bagi peringkat diploma, ijazah dan sarjana yang dilakukan di dalam penjara. Setakat ini, seramai 37 banduan menyertai program berkenaan dan tiga daripadanya telah tamat pengajian.

Menurut Ahmad Zahid, kadar residivis atau kemasukan semula banduan ke penjara adalah sifar bagi mereka yang menyertai program pengajian ini.

Katanya, pembiayaan tahun pertama adalah percuma tetapi tahun kedua dan seterusnya perlu dibiayai oleh keluarga banduan.

Beliau menambah, Jabatan Penjara mungkin akan memikirkan kaedah lain kepada banduan yang tidak mampu untuk dibiayai pengajiannya.

“Saya fikir kalau Kementerian Kewangan meluluskan penubuhan Yayasan Koreksional dan diberikan taraf akaun amanah, mungkin sebahagian wang yang diperolehi daripada pendapatan jualan produk yang dihasilkan banduan dapat digunakan untuk membiayai pengajian itu.

“Ini akan membolehkan lebih ramai banduan mengikuti pengajian ini pada masa akan datang,” katanya sambil merujuk kepada sasaran 100 banduan yang berminat menyertai pengajian itu setiap tahun. 


Artikel Berikut

Artikel Lain