suria

YDP PAS Batu Digesa Lepas Jawatan

Ishak diminta melepaskan jawatan sebagai YDP PAS Kawasan Batu berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

PETALING JAYA: Gara-gara kenyataannya menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi Presiden, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin pula didesak melepaskan kedudukannya pada pemilihan parti akan datang.

Menerusi kenyataan bersama tiga sayap PAS Kawasan Batu, Ishak yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ishak dianggap membelakangi Jawatankuasa Kerja PAS kawasan itu apabila menyarankan supaya Hadi diangkat menduduki kerusi Mursyidul Am.

"Kami menegaskan bahawa saranan yang dinyatakan Cikgu Ishak bukan pendirian PAS Kawasan Batu dan ia tidak pun mewakili aspirasi seluruh ahli PAS kawasan ini.

"Saranan itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Batu. Ia hanya sekadar pandangan peribadi beliau," demikian menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu ditandatangani pemimpin PAS Kawasan Batu, masing-masing Ketua Urusan Ulamak, Azhar Yahya; Ketua Dewan Pemuda, Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Ketua Dewan Muslimat, Salbiah Abd Wahab.

Menurut mereka, Ishak yang sepatutnya mengosongkan kedudukannya bagi memberi laluan kepada tokoh yang lebih berwibawa untuk menerajui PAS Kawasan Batu.

"Apa yang lebih munasabah ialah kami menyarankan agar Cikgu Ishak mengosongkan kerusi YDP PAS Kawasan Batu pada pemilihan April ini bagi memberi laluan kepada tokoh yang lebih berwibawa dan berkredibiliti untuk mengepalai PAS Kawasan Batu.

"Saranan ini juga dibuat berikutan masalah kesihatan yang dihadapi oleh Cikgu Ishak Surin, komitmen terhadap PAS Kawasan Batu semakin menurun, gagal mengadakan mesyuarat secara berkala dan konsisten, serta kehadiran ke mesyuarat Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan yang sangat lemah," kata mereka.

Pada Khamis, Ishak mengeluarkan kenyataan media yang mewakili PAS Kawasan Batu menggesa supaya Hadi melepaskan jawatan Presiden pada pemilihan sempena Muktamar PAS ke-61, Jun depan.

Sehubungan itu kata Ishak, PAS Kawasan Batu mencadangkan supaya Hadi mengetuai Majlis Syura Ulama sebagai Mursyidul Am PAS menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain