suria

Jais Pantau Penceramah Agama Tanpa Tauliah

Wan Ji Wan Hussin.

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan terus memantau aktiviti keagamaan termasuk mengajar atau berceramah tanpa tauliah di masjid dan surau.

Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, bahagian penguatkuasaan akan melaksanakan pemantauan ke atas semua pihak terbabit.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin telah hadir ke bahagian penguatkuasaan Jais pada pagi Isnin bagi membantu siasatan atas kesalahan mengajar tanpa tauliah Februari lalu.

"Kes ini sedang disiasat dan dalam tindakan bahagian penguatkuasaan Jais. Jika disabitkan kesalahan tersebut tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Jais menahan Wan Ji yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor selepas memberi ceramah di Masjid Al-Amin, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor atas kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Sebelum ini, penceramah bebas itu pernah didakwa menghasilkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui laman sosial Facebook.

Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain