suria

Dua Remaja Lelaki Didakwa Bunuh Isteri Anggota Polis

Nagarujun, (kanan) dan seorang juvana berusia 17 tahun (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh di sini, Selasa atas tuduhan membunuh isteri seorang anggota polis pada 11 Februari lalu.

IPOH: Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh isteri seorang anggota polis di rumah mangsa pada 11 Februari lepas.

Penganggur A.Nagarujun, 19, dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun yang bekerja sebagai pencuci kereta, didakwa membunuh Izaah Abdullah, 52, antara pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi di No 9, Laluan Tanjung 4, Taman Tanjung Emas, Ulu Kinta.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Tamil di depan Majistret Nurul Asyifa Redzuan, tertuduh menganggukkan kepala sebagai tanda faham.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Timbalan Pendakwa Raya Geetha Jora Singh memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan bedah siasat mangsa belum siap.

Nurul Asyifa kemudian menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Selepas prosiding, seorang wanita dipercayai anggota keluarga tertuduh kelihatan menangis dan remaja lelaki berumur 17 tahun itu yang turut menangis.

Remaja terbabit, yang memakai kemeja t putih, diwakili peguam Datuk Naran Singh manakala Nagarujun, yang memakai baju lokap (warna ungu,) tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, empat remaja lelaki ditahan reman mulai 12 Feb lepas hingga semalam bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain