suria

AJK Kerja Pusat MIC Fail Semakan Kehakiman Terhadap ROS

K. Ramalingam.
KUALA LUMPUR: Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC K. Ramalingam pada Isnin mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Ketua Pengarah ROS Mohammad Razin Abdullah.

Ramalingam yang juga Pengarah Strategik MIC memfailkan semakan tersebut secara ex-parte di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Selvam Shanmugam & Partners.

Beliau menamakan ROS dan Mohammad Razin sebagai responden dan memohon kebenaran semakan terhadap kenyataan dan tindakan yang dinyatakan menerusi empat pucuk surat bertarikh 5 Disember 2014, 31 Disember 2014, 6 Januari 2015 dan 6 Februari lalu terhadap MIC.

Ramalingam juga memohon untuk membatalkan kenyataan responden menerusi surat yang sama serta memohon satu deklarasi bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu adalah mala-fide dan ultra vires.

Selain itu turut dipohon adalah deklarasi bahawa kenyataan responden itu bertentangan dan satu perbuatan perlucutan hak asasi pemohon menurut Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon supaya responden menggantung kesemua tindakan dan keputusan terhadap parti itu sehingga keputusan permohonan semakan kehakiman dikeluarkan.

Mengikut afidavit, Ramalingam mendakwa Mohammad Razin dan ROS telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan terhadap penjelasan MIC dan gagal menganalisis penjelasan tersebut berpandu kepada peruntukan yang terpakai bagi parti-parti politik sahaja khususnya Seksyen 18A, 18B dan 18C Akta Pertubuhan 1966.

"Responden telah memutar belit kenyataan tanpa berpandu kepada seksyen tersebut," katanya menerusi afidavit.

Selain itu beliau juga memohon supaya mahkamah mendengar permohonan tersebut secepat mungkin bagi mengelak responden terus bertindak.

MIC, RoS

Artikel Lain