suria

Rotan Perlu Untuk Didik, Disiplinkan Pelajar - NUTP

KUALA LUMPUR: Hukuman merotan di sekolah perlu bagi mendidik dan mendisiplinkan pelajar, namun ia harus dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Lok Yim Pheng berkata tanpa hukuman rotan, pelajar yang nakal dan tidak berdisiplin sukar untuk dikawal dan boleh menjejaskan pembelajaran pelajar lain.

"Ada segelintir pelajar sangat degil, dia tidak mahu belajar, macam mana cara pun nak bimbing dia, dia tak mahu, menyebabkan pelajar lain tidak boleh belajar dan untuk itu, hukuman merotan adalah perlu," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Lok berkata sebelum merotan, guru perlu merujuk kepada peraturan khas berkaitan hukuman itu terhadap pelajar iaitu Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957, dan merotan pelajar amat perlu bagi mendisiplinkan pelajar yang nakal.

Beliau berkata terdapat guru yang enggan merotan pelajar untuk mendisiplinkan mereka kerana bimbang dikenakan tindakan melakukan jenayah.

"Kita tak boleh membiarkan budak nakal, kita perlu disiplinkan pelajar secara lebih inovatif dan kreatif," katanya.

Beliau berharap Kementerian Pendidikan dapat menambah baik peraturan merotan dengan memberi definisi lebih khusus agar ia lebih difahami oleh guru.

Rotan, NUTP

Artikel Lain