suria

Tentera Buka Hospital Barisan Hadapan Di Kawasan Banjir

PASIR MAS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka sebuah hospital barisan hadapan bagi memberi kemudahan rawatan sementara kepada mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas, petang Isnin.

Panglima 8 Briged Brig. Jeneral Datuk Azmi Yahya berkata hospital itu dilengkapi semua kemudahan untuk bantuan perubatan.

"Empat doktor ditempatkan di hospital ini bagi memberi rawatan awal kepada pesakit sebelum mereka dibawa ke hospital berdekatan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Azmi berkata hospital itu berfungsi sebagai pusat taktikal untuk markas perubatan yang memberi perkhidmatan rawatan kepada mangsa banjir.

"Selepas menguruskan pemindahan mangsa banjir, ATM akan memberi tumpuan kepada bantuan perubatan di pusat-pusat pemindahan selain menyalurkan bekalan makanan," katanya.

Pegawai Memerintah 2 Batalion Ubat Dr Nik Mohd Nor Nik Amin yang mengetuai operasi bantuan perubatan itu berkata jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di situ meningkat setiap hari.

"Semalam, 150 orang telah mendapatkan rawatan dan jumlah itu dijangka bertambah hari ini kerana sudah ramai penduduk sekitar mula mengetahui perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Selain itu, ATM turut mewujudkan empat pasukan perubatan hadapan (FMT) yang dianggotai 15 anggota ATM dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke tempat yang terputus hubungan.

"Perkhidmatan yang disediakan ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Pasir Mas dan setiap hari kita akan menghantar empat atau lima pasukan (FMT) untuk memantau dan memberi rawatan kepada pesakit," katanya.

Nik Mohd Nor berkata ATM juga menyediakan perkhidmatan dua ambulans yang boleh meredah air bagi membawa pesakit ke hospital.

"Sehingga kini hanya dua kes kecemasan membabitkan ibu hamil dan warga emas yang mengalami sesak nafas dihantar ke hospital sementara yang lain menerima rawatan pesakit luar," katanya.

Mangsa banjir, Che Musa Daud, 65, yang mendapatkan rawatan di hospital itu berkata beliau amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Saya rasa amat bertuah kerana bukan hanya mendapat pelbagai bantuan tetapi juga mendapat kemudahan rawatan di sini," katanya.

Che Musa yang mendapat rawatan akibat batuk berkata beliau amat berpuas hati dengan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan untuk warga emas.


ATM, Tentera, Banjir

Artikel Lain