suria

Segera Buat Aduan Jika Terdapat Rumput Miang Mexico Di Kawasan Rumah

Rumput Miang Mexico.
BALING: Penghuni di kawasan perumahan dan kawasan kampung yang terdapat tumbuhan berbahaya rumpai miang Mexico di Kedah diminta segera melaporkan perkara itu kepada pejabat pertanian daerah untuk tujuan pemusnahan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian Kedah Ramli Abdul Rahman berkata masyarakat perlu peka terhadap bahaya tumbuhan itu yang dikesan di beberapa kawasan di negeri ini.

Katanya masyarakat tidak perlu panik sebaliknya segera memaklumkan pihak jabatan pertanian daerah untuk memusnahkan tumbuhan berbahaya itu.

Beliau berkata usaha memusnahkan tumbuhan beracun itu sehingga kini mendapat kerjasama orang ramai namun mereka masih perlu diberikan kesedaran mengenai bahaya tumbuhan beracun itu terhadap manusia.
 
"Saya menasihatkan orang ramai di kawasan perumahan jika mendapati ada tumbuhan beracun itu supaya menghubungi pihak jabatan pertanian daerah untuk dimusnahkan," katanya kepada Bernama selepas memusnahkan tumbuhan itu di Kampung Banggol Wan Mat dan Kampung Seberang Pekan Baling di sini hari ini.

Enam anggota Jabatan Pertanian Negeri dan Unit Semburan Berkereta serta empat dari pejabat pertanian daerah Baling melakukan tinjauan dan pemusnahan rumpai miang Mexico itu.

Ramli berkata terdapat lebih dua hektar tanah di daerah Baling ditumbuhi rumpai miang Mexico dan tindakan pemusnahan sudah dilakukan terutama di kampung Banggol Wan Mat dan Kampung Seberang Pekan Baling hasil kerjasama penduduk.

Beliau juga berkata bagi pemilik tanah yang tanah mereka ditumbuhi tumbuhan berbahaya itu boleh melakukan pemusnahan sendiri dengan mengunakan bahan racun yang bersesuaian.

Ramli berharap masyarakat mengambil berat terhadap bahaya rumpai miang Mexico dan dapat mengawasi anak-anak daripada bermain di kawasan yang ditumbuhi rumput berbahaya itu.

Rumput Miang Mexico

Artikel Lain