suria

Siswa USIM Wakil Malaysia Ke Tilawah Al-Quran Antarabangsa Di Iran

NILAI: Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Husaini Mahmud dipilih mewakili Malaysia ke Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Milad Tower, Tehran, Iran pada 1 hingga 4 Januari 2015.

Mohamad Husaini, 22, adalah pelajar tahun akhir Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).

Pertandingan kali kelima anjuran 'Iranian Academics Quranic Activities Organization' itu melibatkan peserta pelajar Islam berusia 25 tahun ke bawah dari 50 negara dan antaranya Azerbaijan, Bosnia, Mesir, Syria dan Amerika Syarikat.

Jemputan kepada peserta Malaysia adalah melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, Mohamad Husaini mengucapkan terima kasih kepada Jakim atas pemilihan beliau untuk mewakili negara ke pertandingan tersebut.

"Dipilih mewakili negara ke pertandingan ini adalah sesuatu yang saya tidak sangka dan pastinya saya akan berusaha yang terbaik. Saya akan berlepas ke Iran pada 30 Disember," katanya selepas majlis amanat ringkas bersama Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad di sini, Jumaat.

Katanya, sebagai persediaan ke pertandingan itu, beliau akan dibimbing oleh pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM, Ustaz Anuar Hasin.

Katanya Ustaz Anuar juga merupakan johan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan 2013 dan pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Asean 2014 serta juara Program Akademi Al-Quran (AQ) Musim Kedua.

"Ustaz Anuar Hasin turut bersama beliau sebagai Pegawai Pengiring ketika di sana nanti," katanya.

Antara pencapaian cemerlang Mohamad Husaini dalam beberapa pertandingan tilawah Al-Quran di dalam negara pada tahun ini ialah johan pertandingan Tilawah Al-Quran Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT), johan pertandingan Tilawah Al-Quran Amal Islami, Putrajaya dan naib johan pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Sembilan.


Husaini Mahmud, FPBU, USIM

Artikel Berikut

Artikel Lain