suria

Wanita Warga Australia Didakwa Edar Dadah

Maria boleh dikenakan hukuman mati jika didapati bersalah mengedar 1.5 kg dadah.

SEPANG: Seorang wanita warga Australia pada Jumaat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 1.5kg awal Disember, yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Maria Elvira Pinto Exposto, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan pemeriksaan penumpang 1 (CPP1) Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 3.40 petang, 7 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maria, ibu kepada empat orang anak kelihatan tenang sepanjang prosiding dan mengangguk faham apabila jurubahasa membacakan pertuduhan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan 23 Jan tahun depan untuk sebutan bagi mendapatkan laporan kimia dan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Maria, memberitahu mahkamah bahawa ketika kejadian, anak guamnya dalam perjalanan ke Melbourne dan transit di KLIA.

Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Hasifulkhair Mohd Jamaluddin mewakili pihak pendakwaan.


Artikel Sebelum

Artikel Lain