suria

Rakyat Malaysia Mangsa Kemalangan Belon Udara Panas Makin Pulih

Pasukan polis menyiasat kemalangan belon udara panas yang mengakibatkan seorang warga China maut dan lima rakyat Malaysia cedera pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia yang cedera selepas dua belon udara panas terpaksa mendarat cemas di Cappdocia, Turki pada Rabu semakin pulih dan dijangka dibenarkan pulang tidak lama lagi.

"Semua mereka tahu apa yang berlaku dan dapat menceritakan insiden itu ketika pihak kedutaan melawat mereka di hospital," kata pegawai di pejabat Kedutaan Malaysia di Ankara ketika dihubungi, Khamis.

Pegawai berkenaan berkata, mereka memaklumkan, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum penerbangan belon udara panas itu tamat di Tapak Warisan Dunia Unesco di wilayah tengah Anatolia.

"Mereka memberitahu belon itu berada pada kedudukan yang tidak terlalu tinggi apabila secara tiba-tiba berlaku tiupan angin kencang yang menyebabkan dua bakul berisi penumpang belon udara panas itu bergoyang.

"Kejadian itu menyebabkan antara 15 hingga 20 orang terpelanting keluar," katanya yang menjelaskan tidak berlaku pertembungan dua belon udara panas seperti dilaporkan sebelum ini.

Susulan kejadian itu, wanita warga China, Tang Ti, 23 yang berada dalam bakul sama dengan rakyat malaysia maut.

"Saya percaya semua rakyat Malaysia yang dirawat akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat," katanya lagi.

Difahamkan, rakyat Malaysia yang cedera itu adalah Susheela Devi Raja, Thuraippah Varatharajan, Thavil Selvi Thamotharan, Datuk Juniwati Ahmad dan anak perempuannya yang berusia 15 tahun, Nursyarah.

Setakat ini, Juniwati sudah dibenarkan pulang, manakala yang lain masih dalam pemerhatian pihak perubatan di Hospital Versa, Nevehir.

Sumber berkata, Susheela mengalami kesukaran untuk bernafas kerana terhempam pada dada ketika terjatuh dari belon udara panas itu.

Bagaimanapun, keadaannya semakin baik ketika ini, kata sumber itu.





Cappadocia, belon udara panas, Ankara

Artikel Sebelum

Artikel Lain