suria

Tunku Laksamana Johor Selamat Jalani Rawatan Di China

Tunku Abdul Jalil gembira menunjukkan plak khas dan sijil yang diterima sebagai anugerah "International Sailing Federation (ISAF) President Development Award 2014" ketika ditemui di Wad Diraja Hospital Sultan Aminah, Johor Baharu di sini baru-baru ini.

JOHOR BAHARU: Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China dan kini berada dalam keadaan stabil.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Tunku Abdul Jalil dijangka pulang dalam masa terdekat dan akan menerima rawatan susulan di negara ini.

"Alhamdulillah, rawatan berjalan dengan baik dan sempurna dan pada masa ini Tunku Abdul Jalil sedang berehat," kata beliau kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim.

Abdul Rahim berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melahirkan kesyukuran atas rawatan berkenaan dan mengucapkan terima kepada kerajaan, rakyat serta semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan Tunku Abdul Jalil.

Beliau berkata, Sultan Johor turut berterima kasih kepada pasukan doktor dan pakar yang melakukan rawatan tersebut.

"Sultan Ibrahim sangat terharu atas taat setia dan doa khasnya daripada rakyat Johor daripada pelbagai bangsa supaya rawatan itu sempurna dilakukan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi satu kenyataan, berkata, Sultan Johor turut menyampaikan salam kepada seluruh rakyat negeri ini dan akan pulang ke Johor tidak lama lagi.

"Justeru, sebagai Menteri Besar, saya menyeru semua rakyat Johor agar terus mendoakan supaya Tunku Abdul Jalil kembali sihat seperti biasa. Semoga Allah akan memakbulkan doa kita semua. Insya-Allah," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain