suria

Azmin Tak Ambil Hati Dua Exco Terima Anugerah Datuk

Iskandar dan Dr Ahmad Yunus dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran 'Datuk', daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis.

KLANG: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak mengambil hati dengan penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada dua anggota exco kerajaan negeri, Khamis.

Beliau sebaliknya berkata, darjah kebesaran itu yang dianugerahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Iskandar Abdul Samad, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri dan Dr Ahmad Yunus Hairi adalah sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti mereka sejak menganggotai barisan pimpinan kerajaan negeri.

"Saya percaya dua tokoh ini banyak memberikan khidmat kepada rakyat Selangor dan sewajarnya diberi penghormatan dan penghargaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Baginda ke-69 di Istana Alam Shah di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi sebelum ini yang hangat mengatakan beliau akan berada dalam senarai penerima gelaran Datuk daripada Sultan Selangor setelah darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri'  yang dianugerahkan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditarik balik baginda berkuat kuasa 3 November lepas.

Azmin, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menepis dakwaan kononnya beliau tidak menerima sebarang anugerah kebesaran negeri kali ini disebabkan oleh kemelut jawatan Menteri Besar yang dicetuskan PKR.

Beliau berpendapat adalah terlalu awal untuk dirinya mendapatkan sebarang darjah kebesaran buat masa ini sebab baru 80 hari menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Seramai 102 individu menerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor.

Artikel Lain