suria

SPRM Perlu Bebas Politik - Low

KUALA LUMPUR: Kabinet telah meluluskan cadangan pindaan dalam Perlembagaan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersifat autonomi dan bebas dalam perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, cabarannya adalah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan pindaan itu dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.

"Campur tangan politik terlalu banyak, bukannya kami tidak mahu bersedia. Kerajaan sanggup tetapi cabarannya adalah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

"Kempen akan dilakukan untuk mendapat sokongan ramai.

"Kami mahu memastikan tiada campur tangan politik dalam SPRM untuk kebaikan negara ini," katanya ketika menghadiri forum pencegahan rasuah sempena Hari Terbuka SPRM di Pusat Konvensyen Mid Valley pada Selasa.

Beliau bagaimanapun tidak pasti bila cadangan pindaan itu akan dibentangkan ke Dewan Rakyat, tetapi percaya kerajaan mahu memastikan ia mendapat sokongan di kalangan Ahli Parlimen.

Katanya, cadangan itu yang mendapat kelulusan Kabinet tiga minggu lalu bagi memastikan ketua pesuruhjaya SPRM dapat memegang jawatan itu dalam tempoh tertentu bagi melindunginya daripada sebarang campur tangan politik jika wujudnya siasatan kes berprofil tinggi.

"Ia juga bagi memberi hak kepada suruhanjaya itu untuk melantik atau menamatkan perkhidmatan kakitangannya," katanya.

SPRM, Perlembagaan, politik, Parlimen

Artikel Lain