suria

Pertuduhan Terhadap Dr Khir Toyo Ada Kecacatan - Peguam

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah tersalah arah apabila mengekalkan sabitan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bagi pertuduhan memperoleh barangan berharga iaitu dua bidang tanah dan satu unit banglo untuk diri sendiri dan isterinya, Mahkamah Persekutuan diberitahu Selasa.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Dr Mohamad Khir, berkata ini kerana pertuduhan itu ada kecacatan.

Beliau berkata ini kerana pertuduhan itu menyatakan Dr Mohamad Khir melakukan kesalahan itu atas kapasiti rasminya sebagai Menteri Besar Selangor, manakala Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Dr Mohamad Khir atas kapasitinya sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Pihak pendakwa raya tidak meminda pertuduhan itu sehingga hari ini. Kami dipandu oleh pertuduhan itu. Pertuduhan terhadap perayu (Dr Mohamad Khir) ada kecacatan," kata Muhammad Shafee pada pendengaran rayuan terakhir Dr Mohamad Khir untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mempengerusikan pendengaran rayuan itu bersama-sama empat hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali.

Muhammad Shafee berkata anak guamnya dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang terpakai bagi kakitangan awam dan hujahnya Dr Mohamad Khir, adalah Menteri Besar dan anggota lembaga dan pengerusi PKNS pada masa itu, tidak termasuk di bawah definisi kakitangan awam.

Beliau berhujah perkara utama dalam kes pihak pendakwaan ialah Dr Mohamad Khir telah membeli satu hartanah pada harga tidak wajar RM3.5 juta pada 2007 dan menegaskan pihak pendakwaan berhujah bahawa tidak relevan untuk bergantung pada nilai pasaran.

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan telah bergantung pada laporan penilaian oleh Trans Asia Properties, yang dilantik oleh saksi kedua pihak pendakwaan, Shamsuddin Hayroni, yang merupakan pengarah Ditamas Sdn Bhd, dan pada masa sama mengabaikan sepenuhnya laporan penilaian dibuat Rahim & Co, penilai yang dilantik oleh sebuah bank.

Penilaian Rahim & Co terhadap hartanah itu pada harga RM3.5 juta, selepas melakukan pemeriksaan terhadap keadaan sebenar hartanah itu pada 2007, langsung tidak dicabar oleh pihak pendakwaan, katanya.

Beliau juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan langsung tidak mempertimbangkan pertukaran barangan bernilai atas hartanah itu pada 2004 dan 2007.

Pada 2004, terdapat bangunan dengan reka bentuk Itali berserta sijil layak menduduki manakala pada 2007, hanya tinggal struktur bangunan itu tanpa sijil layak menduduki, katanya.

Pada 23 Disember, 2011, Mahkamah Tinggi di Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir, 49, bersalah terhadap pertuduhan memperoleh untuk diri sendiri dan isterinya Zahrah Kechik, 47, dua bidang tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadapnya.

Hartanah itu diperoleh empat tahun lepas daripada Shamsuddin.

Dr Mohamad Khir dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan hartanah berkenaan dirampas dan diserahkan kepada kerajaan.

Pada 30 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dr Mohamad Khir kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pendengaran bersambung 19 Januari.

Artikel Lain