suria

Pengebom Berani Mati: "Dia Pendiam" - Bapa Saudara

Jaafar Chik, 67, (dua,kiri) ditemubual oleh media mengenai anak saudaranya Ahmad Affendi Abdul Manaf militan Malaysia yang terbunuh di Syria selepas dipercayai menjadi pengebom bunuh diri yang membunuh 50 tentera kerajaan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan di Tumpat, Selasa. -fotoBERNAMA
TUMPAT: Ahmad Affendy Manaff pengembom berani mati yang maut di Syria adalah seorang pendiam dan sering menghabiskan masanya dengan aktiviti keagamaan, menurut keluarganya.

Bapa saudaranya Jaafar Chik, 67, berkata anak saudaranya itu jarang berbual dengan orang ramai dan sebelum ini mengikuti kumpulan tabligh sehingga ke Thailand.

"Saya sendiri jarang berbual dengannya kerana dia pendiam sangat dan apa yang saya tahu sebelum ini mengikuti kumpulan tabligh sehingga ke Siam (Thailand).

"Keluarga kami pun terkejut apabila melihat di surat khabar hari ini yang dia merupakan individu yang dilaporkan (maut) dalam kejadian itu (pengebom berani mati)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Berangan di sini, Selasa.

Jaafar berkata seluruh anggota keluarga tidak mengetahui Ahmad Affendy telah ke luar negara dan terbabit dalam kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS).

 "Kami ingat lama tak bertemu mungkin pergi berdakwah ke mana-mana. Saya sendiri pun tidak tahu apa itu IS dan kematiannya jika benar adalah sesuatu yang menyedihkan," katanya.

Beliau berkata sehingga kini tiada mana-mana pihak atau pihak berkuasa datang ke rumah adiknya untuk memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anak saudaranya itu.

"Saya berharap keluarganya banyak bersabar," katanya yang tinggal berjiran dengan keluarga Ahmad Affendy.

Jaafar berkata keluarga mereka sebelum ini hanya mengetahui desas desus kematian Ahmad Affendy melalui laman sosial Facebook, dan berita itu kemudiannya disiarkan di akhbar tempatan Selasa.

Beliau berkata anak saudaranya itu pernah mengikuti pengajian pondok di Pasir Tumboh selepas tamat persekolahan dan kali terakhir bertemunya adalah pada awal tahun ini.

Wartawan bagaimanapun gagal menemui ibu bapa Ahmad Affendy yang dikatakan peniaga pakaian di sebuah pasar di sini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan pengebom berani mati rakyat Malaysia yang maut di Syria dikenali sebagai Ahmad Affendi Manaff, 27.

Ahmad Affendi, yang masih bujang dilaporkan telah berlepas ke Syria pada 23 April lepas dan terlibat dengan aktiviti keganasan IS, dan difahamkan maut dalam serangan bunuh diri apabila sengaja memandu sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan dan merempuh tentera Bashar al-Assad di bandar Homs.

Dia melakukan tindakan itu pada 8 atau 9 November lalu.

Ahmad Affendi merupakan pengebom berani mati kedua selepas Ahmad Tarmimi Maliki, 26, yang turut maut di dalam serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain