suria

Jualan Akhir Tahun Meriah Sebelum Pelaksanaan GST

Pelbagai peralatan rumah dan aksesori peribadi mewah menjadi pilihan pada akhir tahun.

PETALING JAYA: Jualan Akhir Tahun terus mencatatkan peningkatan memberangsangkan menjelang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April depan.

Pengguna di Malaysia dilihat mula membeli barangan mewah dan mahal di pusat membeli belah sebelum GST dikuat kuasakan. 

Beberapa pusat membeli belah melaporkan perabot berharga ribuan ringgit, televisyen skrin besar dan peti sejuk, serta barangan kemas dan jam tangan merupakan barangan yang menjadi pilihan pengguna.

Penasihat Persatuan Pusat Beli Belah Malaysia, H. C. Chan berkata, permintaan yang tinggi memang telah dijangkakan.

"Pengguna memilih untuk membeli barangan tersebut sekarang kerana mereka tidak mahu membayar dengan harga yang lebih tinggi apabila GST dilaksanakan.

"Kami percaya permintaan untuk barangan ini akan mencatatkan penurunan yang ketara selepas April," tambahnya.

Chan berkata, peningkatan jualan yang dicatatkan adalah sangat bagus  untuk pengusaha pusat beli belah kerana perniagaan mereka agak perlahan sepanjang 11 bulan lalu.

"Disember sentiasa menjadi bulan pilihan kepada pengusaha pusat beli belah," kata Chan, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli Belah dan Taman Tema Sunway.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Kuala Lumpur, Joyce Yap berkata, jam tangan dan barangan kemas merupakan dua item yang laris jualannya sejak beberapa minggu lalu.

"Jam tangan yang berharga RM1 juta telah dibeli oleh orang tempatan sebaik sahaja ia diletakkan di rak pameran. Kami juga melihat pengguna mula mendapatkan barangan yang tidak dikenakan cukai pada ketika ini," katanya.

Yap menjangkakan peningkatan jualan akan berterusan hingga sambutan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia (MRCA), Datuk Liaw Choon Liang berkata, ahli MRCA tidak menikmati peningkatan jualan seperti yang diharapkan yang selalu berlaku pada Disember.

"Pada suku ketiga tahun ini jualan agak teruk.

"Walaupun jualan kini mencatatkan peningkatan namun ia masih agak jauh daripada jangkaan asal.

Kami merasakan pengguna lebih berhati-hati kerana GST akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi," katanya.

MRCA mempunyai lebih daripada 250 pengusaha rantaian-runcit dengan lebih 20,000 peruncit di seluruh negara. 


Jualan Hujung Tahun, GST

Artikel Lain