suria

Kerajaan Rancang Tubuh Badan Baharu Pantau Kemasukan Dadah

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk menubuhkan sebuah badan baharu dalam pasukan itu bagi memantau kemasukan pelbagai jenis dadah ke negara ini, persidangan Dewan Negara diberitahu Isnin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan mengenai badan baharu itu dijangka siap dalam masa tiga bulan dan akan dikemukakan kepada jawatankuasa Kabinet pada bulan Mac depan.

"Saya telah minta PDRM memperincikan strategi dan perancangan untuk menjaga dan mengurus kemasukan dadah-dadah ini melalui (jalan) darat, laut, udara dan disetiap tempat pemeriksaan. 

"Melaluinya, kita akan adakan pegawai polis yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan untuk menangani dadah ini...yang tahu gerak geri manusia, pergerakan badan pengimport dadah yang masuk ke negara ini," katanya menjawab soalan Senator To'Puan Zaitun Mat Amin pada persidangan itu, di sini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata bilangan penagih dadah bagi tempoh Januari hingga September tahun ini adalah 13,787 orang.

Daripada jumlah itu, Wan Junaidi berkata kaum Melayu merupakan bilangan penagih tertinggi iaitu 10,910 orang dan diikuti kaum Cina 1,099 orang.

"Penagih lelaki mencatatkan 13,380 orang dan perempuan 407 orang.

Kumpulan umur 25 hingga 29 tahun mencatatkan bilangan penagih seramai 2,564 orang dan kumpulan umur 20 hingga 24 tahun mencatat 2,242 orang," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Ng Chiang Chin, Wan Junaidi berkata sebanyak 28,450 pendatang asing tanpa izin dan 486 majikan ditahan melalui Ops Bersepadu Fasa 1, bagi tempoh Oktober 2011 hingga semalam. 

Pantau kemasukan dadah

Artikel Lain