suria

Polis Tahan Lima Lelaki Conteng Surau

SEREMBAN: Polis menahan lima lelaki ekoran kejadian Surau Hubbul Watan Taman Seremban Jaya Fasa 10 dan Pejabat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Bahagian Rembau, Jalan Seremban-Tampin, di sini diconteng, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata kesemua lelaki berusia antara 18 dan 32 tahun itu, dipercayai satu kumpulan yang sama, ditahan bagi membantu siasatan.

"Setakat ini polis menahan lima lelaki itu bagi membantu siasatan merosakkan harta awam dan tempat ibadah.

"Di samping itu, pakar forensik juga telah mengambil sampel pada cat yang digunakan oleh individu berkenaan...seterusnya mengambil tindakan lanjut. Masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian," katanya di sini, Khamis.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 4 pagi itu, kedua-dua premis berkenaan yang terletak berhampiran, diconteng dengan cat, dilukis logo dan beberapa perkataan.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat oleh Setiausaha Kerja Umno Bahagian Rembau Zuliana Mohd Ridzuan dan bekas pengerusi Surau Hubbul Watan Taman Seremban Jaya Fasa 10, Abd Ghani Ismail.


Surau, Umno, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain