suria

Datuk Bandar London Terlibat Dalam 'Drama Udara' Ketika Perjalanan Pulang Dari Malaysia

Johnson bersama beca yang dihadiahkan kepadanya ketika melawat Malaysia, Selasa.
PETALING JAYA: Datuk Bandar London Boris Johnson, yang dalam perjalanan pulang dengan penerbangan Malaysia Airlines selepas selesai melawat Malaysia, terperangkap dalam satu 'drama di udara' apabila beliau menenangkan seorang penumpang yang bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata kesat, menurut The Telegraph.

Laporan tersebut memetik anggota delegasinya yang tidak menamakan lelaki berkenaan sebagai 'hilang akal' sebelum dia telah dihalang oleh anak-anak kapal dan ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow.

Datuk Bandar dalam perjalanan pulang dari lawatan ke Asia dengan penerbangan MAS apabila lelaki itu, dikatakan telah minum dan kemudiannya mula menyanyi dan menjerit.

Penumpang dan anak-anak kapal pada mulanya berjaya menenangkannya tetapi selepas itu dia sukar dikawal.

Seorang pramugara dikatakan telah mengalami luka di pipi akibat huru-hara itu.

Jurucakap rasmi Datuk Bandar berkata: "Datuk Bandar bersama-sama dengan beberapa penumpang lain dan krew kabin telah membuat beberapa percubaan untuk menenangkan lelaki berkenaan tetapi tidak berjaya.

"Kami difahamkan dia telah dihalang oleh anak-anak kapal dan ditahan oleh polis ketika tiba di Heathrow."

Johnson berada dalam penerbangan 13 jam dari Kuala Lumpur dan dikatakan berasa terganggu dengan jeritan dan nyanyian lelaki itu. Beliau berpindah ke ke tempat duduk penumpang terbabit dan cuba untuk menenangkannya.

Beliau memberi amaran kepada lelaki itu sebelum lima anak kapal lelaki campur tangan.

Polis menaiki kapal terbang sebaik sahaja ia mendarat dan membawa lelaki itu keluar dari kapal terbang sebelum seluruh penumpang dibenarkan turun.

Gambar 'drama di udara' itu telah dirakamkan oleh anggota rombongan Johnson, duta teknikal beliau, Eileen Burbidge, yang menyiarkan gambar anak-anak kapal sedang menenangkan keadaan di Twitter.

Jurucakap Polis Metropolitan berkata para pegawai bertindak balas terhadap laporan gangguan penumpang di dalam penerbangan di Lapangan Terbang Heathrow.

Scotland Yard berkata, David Morris, 43, dari Wentworth Close, Vale Ash, Aldershot, Surrey kemudiannya dikenakan tuduhan menyerang dengan pukulan, tuduhan melakukan ancaman, tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat atau hinaan terhadap anak kapal, dan tuduhan mabuk dalam kapal terbang.

Ini bukan kali pertama Datuk Bandar memainkan peranan sebagai lelaki budiman.

Pada tahun 2009, beliau telah campur tangan untuk menyelamatkan Franny Armstrong, seorang pembikin dokumentari, apabila dia terserempak dengan wanita itu yang diserang di jalan yang disifatkan sebagai kumpulan perempuan muda liar, termasuk seorang daripada mereka yang sedang mengacukan batang besi.

Awal tahun ini, semasa dalam perjalanan untuk berkempen ke Harrow, beliau dan David Cameron menghentikan kereta mereka untuk membantu seorang wanita muda yang telah rebah di jalan.
Boris Johnson, drama udara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain