suria

10 Jalan Ditutup Sempena Istiadat Persandingan Mempelai Diraja

Majlis persandingan Tunku Ismail dan Cik Khaleeda akan berlangsung pada Sabtu ini.

JOHOR BARU: Sepuluh jalan utama di bandar raya ini akan ditutup kepada lalu lintas bersempena Majlis Istiadat Persandingan Mempelai Diraja, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Cik Khaleeda Bustaman di Istana Besar, Sabtu ini.


Ketua Polis Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, ini bagi memastikan majlis bersejarah itu akan berjalan lancar.

Jalan yang akan ditutup bermula pukul 5 petang sehingga tengah malam itu ialah persimpangan Jalan Tun Razak-Pantai Lido, susur Jalan Tun Razak-Pantai Lido, Lebuh Raya Pantai-Pantai Lido, lampu isyarat Country Garden, lampu Isyarat Hotel M-Suites, Jalan Thompson-Jalan Skudai Pantai Lido; Jalan Abu Bakar-Jalan Skudai Pantai Lido, Jalan Gertak Merah-Jalan Skudai Pantai Lido, persimpangan Tun Sri Lanang (Bangunan Lot1)- Lampu Isyarat Gertak Merah dan Jalan Molek-Lampu Isyarat Jalan Gertak Merah.

Sementara itu, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif ke pusat bandar raya iaitu Jalan Kolam Ayer, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Lingkaran Dalam/Susur Jalan Mahmoodiah, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gertak Merah-Pusingan U ke Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Datin Halimah.

"Mereka yang hendak pergi ke Hospital Sultanah Aminah diminta menggunakan Jalan Mahmoodiah manakala Bazar Karat yang diadakan di Jalan Wong Ah Fook juga akan ditutup pada hari itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Sulaiman berkata, sejumlah 936 anggota dan 36 pegawai polis akan menjalani pelbagai jenis penugasan bagi istiadat tersebut termasuk pengiring, menjaga lalu lintas dan tugas-tugas keselamatan.

Beliau menasihati jemputan ke majlis itu supaya tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai juga diminta mematuhi nasihat polis bagi memastikan kelancaran majlis tersebut.

Yang dipertua Majlis Jumaah Diraja Datuk Abdul Rahim Ramli sebelum ini berkata orang ramai berpeluang melihat pasangan itu menaiki kereta tidak berbumbung yang akan bergerak dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar, yang dijangka bermula 7.30 malam.

Mereka boleh berhimpun di sepanjang jalan tiga kilometer itu dan menyaksikan perjalanan majlis menerusi skrin besar di Dataran Bandaraya di sini.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain