suria

Najib Rakam Takziah Kepada Mangsa Di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada mangsa kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di Cameron Highlands pada Rabu.

Beliau turut menggesa semua pihak untuk lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan ekoran musim hujan sekarang.

"Saya mengucapkan takziah serta berkongsi rasa simpati atas kehilangan nyawa dan harta benda dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands semalam.

"Sempena musim hujan yang melanda kini, saya menggesa semua pihak lebih berhati-hati dan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan," katanya dalam tulisan terbarunya di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam kejadian itu, tiga orang disahkan maut dengan seorang pelajar lelaki, R. Punesh, 13, ditemui lemas di Sungai Terlom, Kampung Raja, manakala seorang pekerja kebun sayur warga Indonesia yang dikenali sebagai Anipan, 48, ditemui tertimbus di Lembah Bertam.

Seorang lagi mangsa, seorang pekerja kebun sayur warga Nepal, Md Yousuf Miya, 66, meninggal dunia selepas ditemui tertimbus di Jalan Ulu Merah, Ringlet.

Kejadian yang berpunca akibat hujan lebat itu, turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.


Cameron Highlands

Artikel Sebelum

Artikel Lain