suria

Kanak-Kanak 7 Tahun Dipercayai Didera Bapa Dan Teman Wanita

MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera bapanya dan teman wanita lelaki berkenaan di sebuah rumah di Paya Rumput di sini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipercayai kerap menjadi mangsa dera pasangan berkenaan berdasarkan kesan kecederaan lama dan baharu di seluruh belakang badan mangsa.

Beliau berkata, laporan berhubung kes dera kanak-kanak itu dibuat nenek angkat kanak-kanak tersebut yang juga tuan rumah yang diduduki keluarga mangsa, di balai Tanjung Minyak kira-kira 6.05 petang pada Selasa (30 September).

"Wanita itu mendakwa pasangan berkenaan kerap mendera kanak-kanak tersebut menggunakan getah paip, penyangkut baju dan tali pinggang selain ditumbuk serta dihentak kepala ke dinding," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata sehubungan itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun dan teman wanitanya berusia 31 tahun, ditahan bagi membantu siasatan ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 2.30 petang Rabu (1 Oktober).

Raja Shahrom berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang biskut di Batu Berendam di sini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis manakala teman wanitanya dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama kerana menyusu anaknya berusia dua tahun.

Katanya, kanak-kanak perempuan mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Melaka dan berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, nenek angkat kanak-kanak itu berkata, teman wanita kepada bapa kanak-kanak itu merupakan anak angkatnya yang menumpang di rumahnya di Paya Rumput sejak Julai lalu.

"Tangan kanak-kanak itu berbalut simen ketika hari pertama tiba di rumah saya dan apabila ditanya mangsa dikatakan patah tangan akibat terjatuh tangga di rumah sewa mereka di Masai, Johor," kata tukang cuci di sebuah sekolah di Paya Rumput itu.

Dia mendakwa sering melihat kanak-kanak itu dipukul bapa dan anak angkatnya itu walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga mengakibatkan kecederaan di seluruh anggota badan.

Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani berkata, pasangan itu ditahan di rumah berkenaan kira-kira 12 tengah malam pada 29 September lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan dan Seksyen 54 enakmen sama kerana melahirkan anak luar nikah.

Kanak-kanak didera

Artikel Lain