suria

Peniaga Ikan Kena Samun RM43,000

KUANTAN: Seorang wanita peniaga ikan kerugian wang tunai RM43,000 dan barangan berharga selepas rumahnya di Desa Perpat, Kuala Rompin, disamun tiga lelaki bersenjatakan parang awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata dalam kejadian pada 2.30 pagi itu, mangsa, seorang ibu tunggal berusia 47 tahun dan anak lelakinya berusia 23 tahun, turut diikat dengan dawai oleh suspek yang memecah masuk ke rumahnya.

Selepas mengikat dua beranak itu, suspek yang berpakaian gelap dan menutup muka dengan baju, menggeledah rumah mangsa dan mengambil barangan berharga lalu melarikan diri, katanya.

Johari berkata sejurus kemudian, anak mangsa berjaya melepaskan ikatan dan membuat polis laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin.

Katanya mangsa kerugian wang tunai RM43,000 yang disimpan di dalam sebuah beg, sebuah komputer riba, telefon bimbit dan barangan kemas.

Beliau berkata berdasarkan keterangan mangsa, polis percaya dua daripada suspek merupakan warga asing berdasarkan percakapan mereka manakala seorang lagi adalah penduduk tempatan.


Samun, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain