suria

Kekecohan Muktamar Pemuda, Serangan Terhadap Suhaizan?

KOTA TINGGI: Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat menolak tanggapan bahawa kekecohan yang berlaku ketika muktamar tahunan sayap parti itu, Selasa malam merupakan 'serangan terancang' terhadapnya.

Bagaimanapun Suhaizan pada masa sama menyedari wujud tekanan dalaman yang mempertikaikan keputusan pemilihan tahun lalu di Petaling Jaya.

"Saya pernah nampak satu surat layang sebelum ini sekitar beberapa bulan lalu yang mengatakan benda ini berlaku.

"Tapi sebab ia surat layang kita tak ambil tindakan apa-apa. Takkan kita nak layan surat layang," katanya ketika ditemui di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat ke-55 di Dewan Chon Moi di sini.

Beliau mengulas mengenai insiden kekecohan yang berlaku lebih sejam pada Selasa malam ketika sesi meluluskan minit meayuarat Muktamar Pemuda PAS ke-54.

Kekecohan berlaku apabila perwakilan Pemuda PAS mempertikaikan keputusan pemilihan sayap parti itu pada tahun lalu yang dianggap tidak sah dan perlu dibatalkan.

Ia berikutan pendedahan perwakilan Shah Alam bahawa terdapat lima kawasan di Johor tidak boleh diiktiraf kerana gagal mengadakan muktamar masing-masing pada tahun lalu.

Mengulas lanjut Suhaizan berkata, isu dibangkitkan perwakilan mengenai keputusan pemilihan lalu yang menyaksikan beliau menang jawatan ketua pemuda dalam saingan tiga penjuru itu perlu dirujuk kepada pengurusan parti dan jawatankuasa pemilihan PAS.

"Saya tak tahu, serangan itu bukan kepada saya. Serangan itu kepada jawatankuasa pemilihan yang lepas.

"Pada saya...saya tak rasa tekanan itu kepada saya," katanya.

PAS, Muktamar, Pemuda PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain