suria

Kompleks Beli Belah Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor Jadi Tumpuan

Calon Bebas, Izat Bukhary (kiri) meluangkan masa beramah bersama orang ramai semasa berkempen sempena PRK DUN Pengkalan Kubor di sekitar Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor pada Ahad. - fotoBERNAMA
TUMPAT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bagaikan membawa tuah dan rezeki bagi para peniaga di Kompleks beli belah Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, di sini.

Kompleks yang terletak berhampiran pekan Pengkalan Kubor dan sempadan Malaysia-Thailand itu menjadi antara daya tarikan utama bagi penyokong parti-parti politik dari seluruh negara yang datang untuk menjalankan tugas sempena PRK ini.

Ramai peniaga yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan kehadiran ratusan orang luar pada setiap hari yang menjadikan perniagaan mereka meningkat secara mendadak.

Seorang peniaga aksesori wanita, Romlah Abdul Razak, 46, berkata pendapatan hariannya meningkat sejak seminggu lalu sehingga mencapai RM3,000 sehari.

"Sebelum ini, jualan harian saya sekitar RM200 hingga RM800 tetapi meningkat sejak seminggu ini kerana ramai orang luar datang untuk PRK ini," katanya.

Beliau berkata, rezekinya bertambah kerana PRK itu dan ramai golongan wanita dari seluruh negara berminat dengan barangan eksesori yang dijualnya kerana harganya jauh lebih murah berbanding di tempat mereka.

Seorang lagi peniaga warung, Rashidah Mansur, 48, berkata beliau yang dibantu tiga pekerja menerima pelanggan dari pelbagai negeri untuk menikmati menu istimewanya seperti nasi berlauk ayam kampung, nasi dagang dan nasi kerabu.

"Alhamdulillah, jualan semakin laris sejak seminggu lalu dan membuatkan saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Katanya, nilai jualannya meningkat antara RM1,500 dan 2,000 sehari dalam tempoh hanya lima jam.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan adalah dari luar Kelantan dan mereka mahu menikmati masakan ala Siam di kawasan itu.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata penyokong parti politik yang mengikut kempen PRK berkenaan turut mengambil kesempatan membeli-belah di kompleks itu dengan kebanyakan mereka membeli baju, kain serta hiasan rumah.

Seorang pengunjung, Samiha Ismail, 36, dari Perak berkata kebanyakan barang di situ dijual dengan harga murah.

"Di samping datang untuk berkempen, saya akan manfaatkan masa yang ada untuk membeli belah," katanya ketika ditemui di sini, Ahad.

Seorang lagi pengunjung Azizul Hamid, 24, berkata beliau mengunjungi tempat itu untuk menikmati pelbagai makanan selain dapat mengenali budaya yang unik dalam kalangan masyarakat tempatan yang mirip Siam.

"Masakan di sini agak berbeza dan sedap selain harganya berpatutan. Ini adalah kali pertama saya dan rakan-rakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dari Johor datang ke tempat ini," katanya.

Beliau berkata, kompleks itu mampu menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara jika ia mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik dan juga promosi di peringkat antarabangsa.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas akibat kanser hati.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 September ini sebagai tarikh pengundian.


zon bebas cukai, Pengkalan Kubor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain