suria

GST: Lebih Ramai Pakar Percukaian Perlu Bantu IKS

Wee Ka Siong.
KUALA LUMPUR: Lebih banyak pakar percukaian diperlukan bagi menawarkan perkhidmatan secara sukarela untuk membantu kira-kira 645,000 Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata setakat ini, hanya 32,000 daripada 300,000 syarikat dengan perolehan tahunan sekurang-kurangnya RM500,000 telah berdaftar untuk GST yang akan diperkenalkan pada 1 April, 2015.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, beliau berkata sesetengah perunding GST didapati mengenakan bayaran sehingga RM300,000 bagi pakej keseluruhan GST, termasuk pendaftaran, latihan, penyesuaian atau menaikkan taraf kepada sistem percukaian mesra GST untuk mematuhi GST.

Firma-firma perakaunan yang kecil juga mengenakan bayaran antara RM1,500 dan RM8,000 untuk perkhidmatan setiap hari untuk membantu syarikat-syarikat mendaftar untuk GST.

"Bayaran yang tinggi ini mencerminkan kekurangan pembekal perkhidmatan yang dapat membantu bagi meringankan kesulitan bagi pematuhan GST," kata Wee.

Justeru, beliau menggesa syarikat mendaftar dengan segera bagi mempercepatkan pelaksanaan GST untuk kepentingan negara.

"IKS perlu memanfaatkan ceramah dan seminar seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia yang juga memberi khidmat kaunseling dan bantuan percuma bagi membantu syarikat mendaftar untuk GST," kata beliau.

GST, IKS, Wee Ka Siong

Artikel Lain