suria

Krisis MB: PKR Hormat Sistem Beraja - Azmin

Azmin menegaskan PKR sentiasa mendudung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi salah satu tunggak kerajaan.

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan parti itu sentiasa mendukung sistem demokrasi dan prinsip raja berperlembagaan, demikian menurut Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Penegasan itu dibuat beberapa jam selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan baginda terhadap PKR dan DAP berhubung krisis menteri besar Selangor.

"Saya ingin menegaskan dasar PKR yang mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan merupakan salah satu tunggak kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Awal Isnin, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap PKR dan DAP kerana mengingkari titah supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon untuk dipertimbangkan ke jawatan menteri besar.

Kedua-dua sekutu Pakatan Rakyat itu dianggap mengingkari titah Sultan Selangor apabila hanya mempersembahkan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk dilantik ke jawatan eksekutif itu.

Bebeza dengan PAS, sekutu Pakatan Rakyat itu disahkan mempersembahkan tiga nama kepada Sultan Sharafuddin seperti yang dititahkan baginda menerusi surat bertarikh 27 Ogos lalu.

Mengulas lanjut Azmin mengakui PKR berhadapan 'kesukaran' berhubung krisis berpanjangan membabitkan pertukaran menteri besar.

"Saya akui kita sekarang sedang menghadapi sedikit kesukaran namun saya yakin berdasarkan pengalaman dan dengan semangat muafakat dalam parti dan Pakatan Rakyat, pimpinan PKR akan dapat mengatasi kesukaran sekarang.

"Saya yakin kita akan keluar daripada kemelut sekarang dan kita perlu menggilap iltizam dan azam untuk maju ke hadapan dan membangunkan Selangor dan menjaga kepentingan rakyat jelata," katanya.

Artikel Lain