suria

Lahad Datu: Keputusan Kes Menghasut Tian Chua 30 Oktober Depan

Tian Chua.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh keputusan kes menghasut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chuan berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Hakim Norsharidah Awang menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan menutup kes setelah memanggil saksi ketiga iaitu bekas wartawan Keadilan Daily.com Siti Nooraishah Geoffery.

Pada Selasa, mahkamah mendengar keterangan dua saksi pendakwaan iaitu bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu Syed Amirrudin Syed Jaffar, yang membuat laporan polis berhubung artikel yang disiar portal berita itu, dan Pegawai Penyiasat ASP Airy Zaidi Nordin.

Norsharidah mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan masing-masing sebelum 13 Oktober.

Pada prosiding hari ini, Siti Nooraishah, 26, berkata ayat yang terkandung dalam artikel terbabit adalah hasil perbualan telefonnya dengan Anggota Parlimen Batu itu.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaimi Amer, Siti Nooraishah berkata walaupun tidak sempat menulis setiap perkataan yang disebut Tian Chua namun beliau menulis perkataan yang dirasakan penting.

"Saya ada mengolah sedikit kata-kata beliau..., hanya untuk memastikan susunan bahasa yang betul, tetapi apa yang dikatakan oleh YB seperti mana dinyatakan di pertuduhan, datangnya daripada beliau," katanya.

Beliau berkata hanya perkataan 'tembak-menembak' ditambah oleh subeditor portal berita berkenaan, Norasikin Samsi.

Sementara itu, ketika disoal peguam Latheefa Koya, Siti Nooraishah berkata memang sesuatu artikel kadang-kadang diolah semula oleh editor atau subeditor, namun artikel Tian Chua tidak banyak perubahan semasa dimuat turun pada 1 Mac tahun lepas.

Kepada soalan lain, beliau berkata tidak melakukan semakan dengan Tian Chua berhubung kenyataan yang dibuat ahli politik itu.

Bekas wartawan itu juga menafikan cadangan bahawa terdapat banyak perkataan dalam artikel berkenaan, yang merujuk kepada Tian Chua, bukannya datang daripada tertuduh sebaliknya daripada penulis sendiri.

"Saya hanya memberikan latar belakang serta perkembangan terbaharu mengenai insiden itu dan tidak membuat sebarang pengolahan pada kata-kata Tian Chua," katanya.

Tian Chua, 50, berdepan pertuduhan menghasut dengan membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew di sini pada kira-kira 11 pagi 1 Mac lepas mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan, Tian Chua berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Tian Chua, menghasut, Lahad Datu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain