suria

Kad Raya Konvensional Masih Relevan

PETALING JAYA: Kewujudan media sosial yang begitu berpengaruh di kalangan generasi muda ternyata tidak mengubah peranan kad ucapan hari raya konvensional sempena sambutan Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun banyak pihak terpaksa mengakui medium media sosial seperti FacebookInstagramTwitterPath mahupun Keek lebih menjadi pilihan untuk menyampaikan ucapan sama ada dalam bentuk kad digital ataupun video.

Haziq Farhan menyifatkan ucapan di Facebook atau Twitter  tidak memberi kesan yang mendalam kerana ia bersifat terbuka dan umum.

Bagi Haziq Farhan Mohd Helmy, 19, dia percaya walaupun teknologi maklumat mempengaruhi sebahagian besar kehidupan masyarakat hari ini, penggunaan media sosial apabila tibanya musim perayaan tidak berupaya menandingi peranan sebenar kiriman kad ucapan.

Haziq yang baharu menamatkan kursus di peringkat asasi undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia masih memilih kaedah kiriman kad raya konvensional kerana lebih memberi impak kepada penerima.

"Ucapan di Facebook atau Twitter sebenarnya tidak memberi kesan yang mendalam kerana ia bersifat terbuka dan umum.

"Tidak seperti kad raya konvensional, bagi saya ia akan lebih diingati kerana kita boleh menyimpan kad-kad ucapan secara fizikal," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.


Kad ucapan hari raya konvensional masih menjadi pilihan masyarakat walaupun tidak begitu popular seperti dahulu.

Jelas Haziq dia masih mengirimkan sekitar 20 keping kad ucapan hari raya dan turut menerima hampir 10 keping kad pada sambutan Syawal tahun lalu.


"Walaupun tidak banyak, tapi ia mempunyai maksud yang besar. Malah penerima akan rasa lebih teruja apabila menerima kad ucapan secara fizikal," katanya yang aktif di laman Twitter.

Sementara itu bagi peguam Ahmad Fuad Hasim, 29, beliau masih berharap untuk menerima kad ucapan raya secara fizikal khususnya daripada kenalan rapat.

Menurut beliau, walaupun wujud percambahan pelbagai medium media sosial, kad raya konvensional disifatkan masih relevan dan perlu dipertahankan.

Ahmad Fuad masih menulis sendiri kad ucapan hari raya kerana ia memberi kepuasan yang berbeza.

"Jangan lupakan kad raya fizikal kerana penerima akan merasa lebih dihargai dan diingati berbanding ucapan menerusi media sosial.

"Malah aktiviti menulis kad raya dengan ucapan panjang lebar terutama kepada orang tersayang memberi kepuasan yang berbeza setiap kali tibanya Syawal," katanya yang masih menerima sekitar 20 hingga 30 kad ucapan setiap tahun.

Tambah pemilik bersama firma guaman Fuad Abi & Aidil ini, ucapan di media sosial secara terbuka atau kiriman sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun penggunaan aplikasi Whatsapp secara pukal dilihat kurang bermakna.

"Bagi saya pengirim ucapan copy paste yang dihantar secara broadcast message hanya ambil jalan mudah dan sekadar mengikut trend.

"Tak salah gunakan media sosial, tapi biarlah penerima rasa lebih dihargai. Pengirim boleh karang sendiri ucapan ringkas dan mengirimkan ucapan itu secara khusus kepada kenalannya," kata Ahmad Fuad.
Ramadan, Kad Raya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain