suria

Cuepacs Sambut Baik Pelaksanaan GST

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah selaras dengan matlamat kerajaan memperkukuhkan hasil pendapatan negara menjelang 2020, sekali gus bakal memberi manfaat besar kepada rakyat termasuk penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata apabila kerajaan dapat menambahkan lagi hasil pendapatan menerusi GST, maka setiap tuntutan Cuepacs untuk kepentingan penjawat awam juga akan lebih mudah dipertimbangkan.

"Pelaksanaan cukai boleh tambah hasil negara, dan seterusnya kerajaan boleh timbang tuntutan baharu Cuepacs," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Dialog Isu GST dan Ekonomi Semasa Tanah Air (DIGEST) bersama Cuepacs.

"Daripada penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan tadi, dengan melihat kepada elemen subsidi yang diberikan kerajaan dan elemen pelaksanaan GST, ia tidak menunjukkan harga barang akan melonjak," katanya.

Program DIGEST bersama Timbalan Menteri Kewangan itu sebelum ini telah diadakan bersama media dan setiausaha pelbagai kementerian serta persatuan pelajar bertujuan memberi penerangan GST kepada beberapa kumpulan sasar.

Program dialog itu juga akan diteruskan bersama beberapa kumpulan sasar yang lain antaranya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sasterawan dan karyawan.

Sementara itu, Ahmad berkata penerangan mengenai GST akan dilaksanakan dengan lebih giat lagi bagi memberi pemahaman yang lebih jelas.

"Dalam hal ini, kita menceritakan fakta mengenai GST, kalau kita memberi fakta tanpa emosi, ia membawa kebaikan,"katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mencari formula baharu untuk memberi penerangan lebih kepada orang ramai, agar ia tidak disalah erti.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan akan melaksanakan GST pada kadar enam peratus mulai April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
GST, Cuepacs, Azih Muda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain